Friday, September 7, 2012

IKIP capai penarafan 5 bintang




Oleh Nur Ahmad Musaddiq Baharum

Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP) diumum antara 20 kolej swasta yang mendapat penarafan 5 bintang oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui Sistem Pengurusan Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQuest) bagi tahun 2010/2011.
Sistem yang dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi itu, adalah sistem yang bertujuan untuk menilai pencapaian kolej swasta di Malaysia yang menghasilkan tiga laporan yang berdasarkan College Based, Cluster Based dan International Student Readiness.
Timbalan Naib Presiden Akademik IKIP, Encik Airul Amri Amran berkata, dengan penarafan 5 bintang ini, ia dapat membuka mata masyarakat akan kewujudan IKIP sebagai pesaing dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia.
“Dengan mendapat penarafan lima bintang oleh MYQUEST, ini membuktikan bahawa IKIP mempunyai sumber yang berkualiti dari segi pensyarah yang berkelayakan mengikut bidang serta kemudahan yang telah disediakan.
 “IKIP sedang menambah baik perbincangan pelan strategik, pengiktirafan Total Quality Management (TQM) melalui Total Quality Fast Track Model (TQFTM) serta pemantapan bahagian akademik dalam usaha mencapai penarafan enam bintang pula,” katanya semasa ditemubual.
Ini menunjukkan IKIP ditahap yang terbaik dalam memenuhi aspirasi negara serta mampu menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang sempurna supaya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti secara berterusan.
Selain itu, ia turut menggambarkan bahawa IKIP mempunyai kekuatan daya saing yang tinggi, serta berkualiti bukan setakat kepada program-program yang ditawarkannya malah dari segi pengurusan keseluruhannya.
 Penilaian yang telah dijalankan itu, merupakan bukti kesungguhan kerajaan untuk melonjak pendidikan ke tahap yang lebih tinggi dan mampu berdaya saing supaya pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan dengan pendidikan di negara lain.
Usaha yang cuba ditonjolkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi itu mampu menghasilkan IPTS yang benar-benar berkualiti, menggalas cita-cita negara untuk melahirkan modul insan yang unggul serta menguasai nilai dan berkemahiran tinggi.
Ini juga sebagai landasan untuk memastikan program Kementerian Pengajian Tinggi itu dapat dilaksanakan secara teratur dan sistematik ke arah pencapaian matlamat untuk memastikan visi pengajian tinggi dapat dicapai secara berterusan.
Langkah ini bertujuan bagi memastikan IPTS yang terdapat di Malaysia memperbaiki mutu perkhidmatan serta meningkatkan kualiti pengajian tinggi menjelang tahun 2013 supaya memenuhi semua piawaian dan peraturan yang ditetapkan.


No comments:

Post a Comment