Sunday, September 9, 2012

41 Pelajar Masyarakat Orang Asli Diraikan Dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat





Oleh NUR AHMAD MUSADDIQ BAHARUM




Datuk Seri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan sedang berucap semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat
 



Seramai 41 pelajar Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PETAMA) Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP), telah diraikan dalam majlis penyampaian sumbangan zakat oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Pahang (MUIP) sempena bulan Ramadhan ini.
Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan berkata, program ini telah dirangka dan dirancang oleh MUIP bagi pembangunan saudara baru di negeri Pahang serta diberikan pendedahan ilmu agama kepada mereka.
“ Lapan golongan asnaf berhak menerima zakat termasuk saudara baru, jadi kita wajib membantu mereka supaya mereka dapat meningkatkan amal ibadat pada bulan Ramadhan ini serta meringankan beban hidup mereka,”
“Program ini telah bermula sejak tahun 1998 dan mendapat sokongan padu daripada MUIP serta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), ia merupakan satu perhargaan untuk IKIP kerana membela nasib orang Asli yang baru memeluk agama Islam, ” katanya semasa berucap di pejabat PETAMA.
Sementara itu, Ketua Program PETAMA, Ustaz Radzi Musa pula berkata, beliau berterima kasih kepada MUIP kerana banyak membantu PETAMA dari segi kewangan serta sokongan dari awal penubuhan sehingga sekarang.
“ Program seperti ini telah memberi peluang kepada masyarakat orang Asli yang baru memeluk agama Islam dapat mengubah cara hidup mereka supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam” katanya.
Beliau berharap pada masa akan datang lebih banyak badan-badan amal yang tampil membantu golongan saudara baru kerana mereka memerlukan bimbingan serta pembakar semangat untuk menjadikan mereka lebih dihargai untuk menjadi umat islam yang sejati.
Salah seorang penerima zakat, Mohd Azmi Azman berpendapat, bantuan daripada MUIP serta sokongan IKIP telah membantu beliau untuk terus mendalami Islam dan meringankan beban hidupnya khususnya untuk menyambut hari raya Aidilfitri yang bakal tiba.
“ Walaupun saya sudah memeluk Islam lebih tiga tahun, tapi ini adalah kali pertama saya menerima sumbangan zakat daripada MUIP. Ia benar-benar menbuat saya terharu,” katanya semasa ditemu bual.
Rawdzah Abdul Ghani, juga salah seorang penerima zakat berkata, beliau tertarik dengan Islam selepas melihat abang serta kakaknya mendalami Islam terlebih dahulu.
“ Pada mulanya banyak rintangan saya hadapi sebelum memeluk Islam, tapi akhirnya saya berjaya juga mendalami agama Islam ini” katanya.
Sumbangan telah disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Haji Abdul Wahid Wan Hassan.

No comments:

Post a Comment