Sunday, September 9, 2012

IKIP anjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sesi 2011 Sekolah Pengajian Diploma




Oleh Nur Ahmad Musaddiq Baharum

 
 Seramai 60 orang pelajar Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP) dari Sekolah Pengajian Diploma, telah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sesi 2011 bertempat di Shahzan Inn Kuantan April lalu.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar ini meraikan pelajar-pelajar cemerlang bagi Sesi Januari - Mei dan Julai - Disember 2011, bagi kategori akademik dan kokurikulum.
Selain itu, Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar ini adalah untuk memberi pengiktirafan dan perhargaan kepada usaha para pelajar yang telah mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang akademik.
Pengarah Program Sekolah Pengajian Diploma Kolej Antarabangsa IKIP, Puan Norzimah Kasran berkata, majlis ini bertujuan memberi perangsang kepada pelajar yang berjaya untuk terus berusaha mengekalkan kecemerlangan, seterusnya dapat meningkatkan prestasi sekolah pengajian diploma secara keseluruhan.
“ Kecemerlangan pelajar dipengaruhi oleh pelbagai aspek seperti ibu bapa, pensyarah, cita-cita, serta kualiti pengajaran yang berkesan daripada pensyarah-pensyarah selain penerimaan kurikulum yang menepati kehendak industri dan suasana.
“ Yang lebih penting adalah persediaan pelajar untuk menghadapi dunia pekerjaan, khususnya untuk memastikan bahawa diri kita adalah yang terlayak untuk dipilih berkerja dalam industri,” ulasnya.
Ini membuktikan Sekolah Pengajian Diploma mementingkan para pelajar sentiasa bekerja keras, berkualiti serta untuk terus berusaha demi mencapai kecemerlangan di dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum.
Dalam majlis tersebut, Nor Syazwani Abdul, 23, dari program Diploma Kesetiausahan Eksekutif diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Pengajian Diploma bagi tahun 2011. Beliau dipilih berdasarkan keputusan akademik yang cemerlang setiap semester, kegigihan dan sikap disenangi oleh ramai pensyarah.
“Semasa di dalam kelas, saya selalu bertanya kepada pensyarah jika saya tidak memahami sesuatu perkara itu serta menumpukan perhatian kepada topik pengajaran, dan sangat mematuhi jadual harian yang khususnya untuk  mengulang kaji. Ini adalah cara saya belajar,” kata Nor Syazwani Abdul semasa ditemu bual.
Beliau berharap para pelajar yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi dapat menetapkan matlamat masing-masing dalam menimba ilmu pengetahuan tanpa mengira bidang. Seorang lagi penerima anugerah cemerlang, MD.Muddaser Ali Chowdhury, 23, pelajar antarabangsa berasal dari Bangladesh berkata, beliau sangat berterima kasih kepada IKIP dan pensyarah-pensyarah yang telah memberi tunjuk ajar kepada beliau serta memberi bimbingan sehingga beliau berjaya sampai ke tahap seperti ini.
“ Saya sangat seronok belajar di sini, budaya berdaya saing yang diterapkan di IKIP membuatkan saya berkeyakinan tinggi untuk lebih maju dalam hidup. Selain itu, persekitaran IKIP sangat mesra dan memudahkan saya berkomunikasi dengan masyarakat di sini,” kata MD.Muddaser Ali Chowdhury.

No comments:

Post a Comment