Sunday, September 9, 2012

IKIP anjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Sesi 2011 Sekolah Pengajian Diploma




Oleh Nur Ahmad Musaddiq Baharum

 
 Seramai 60 orang pelajar Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP) dari Sekolah Pengajian Diploma, telah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sesi 2011 bertempat di Shahzan Inn Kuantan April lalu.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar ini meraikan pelajar-pelajar cemerlang bagi Sesi Januari - Mei dan Julai - Disember 2011, bagi kategori akademik dan kokurikulum.
Selain itu, Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar ini adalah untuk memberi pengiktirafan dan perhargaan kepada usaha para pelajar yang telah mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang akademik.
Pengarah Program Sekolah Pengajian Diploma Kolej Antarabangsa IKIP, Puan Norzimah Kasran berkata, majlis ini bertujuan memberi perangsang kepada pelajar yang berjaya untuk terus berusaha mengekalkan kecemerlangan, seterusnya dapat meningkatkan prestasi sekolah pengajian diploma secara keseluruhan.
“ Kecemerlangan pelajar dipengaruhi oleh pelbagai aspek seperti ibu bapa, pensyarah, cita-cita, serta kualiti pengajaran yang berkesan daripada pensyarah-pensyarah selain penerimaan kurikulum yang menepati kehendak industri dan suasana.
“ Yang lebih penting adalah persediaan pelajar untuk menghadapi dunia pekerjaan, khususnya untuk memastikan bahawa diri kita adalah yang terlayak untuk dipilih berkerja dalam industri,” ulasnya.
Ini membuktikan Sekolah Pengajian Diploma mementingkan para pelajar sentiasa bekerja keras, berkualiti serta untuk terus berusaha demi mencapai kecemerlangan di dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum.
Dalam majlis tersebut, Nor Syazwani Abdul, 23, dari program Diploma Kesetiausahan Eksekutif diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Pengajian Diploma bagi tahun 2011. Beliau dipilih berdasarkan keputusan akademik yang cemerlang setiap semester, kegigihan dan sikap disenangi oleh ramai pensyarah.
“Semasa di dalam kelas, saya selalu bertanya kepada pensyarah jika saya tidak memahami sesuatu perkara itu serta menumpukan perhatian kepada topik pengajaran, dan sangat mematuhi jadual harian yang khususnya untuk  mengulang kaji. Ini adalah cara saya belajar,” kata Nor Syazwani Abdul semasa ditemu bual.
Beliau berharap para pelajar yang menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi dapat menetapkan matlamat masing-masing dalam menimba ilmu pengetahuan tanpa mengira bidang. Seorang lagi penerima anugerah cemerlang, MD.Muddaser Ali Chowdhury, 23, pelajar antarabangsa berasal dari Bangladesh berkata, beliau sangat berterima kasih kepada IKIP dan pensyarah-pensyarah yang telah memberi tunjuk ajar kepada beliau serta memberi bimbingan sehingga beliau berjaya sampai ke tahap seperti ini.
“ Saya sangat seronok belajar di sini, budaya berdaya saing yang diterapkan di IKIP membuatkan saya berkeyakinan tinggi untuk lebih maju dalam hidup. Selain itu, persekitaran IKIP sangat mesra dan memudahkan saya berkomunikasi dengan masyarakat di sini,” kata MD.Muddaser Ali Chowdhury.

Friday, September 7, 2012

THE LIP’Z ART minat mendalam dengan muzik




                                                Oleh Nur Ahmad Musaddiq Baharum


 Kuantan - Tidak mudah berputus asa dan minat mendalam dengan muzik membuatkan kumpulan The Lip’z Art terus berusaha sehingga berjaya, merupakan satu langkah positif bagi kumpulan ini.
The Lip’z Art adalah kumpulan yang dianggotai oleh Hezam Zainal, Mohd Haznol Basri, Muhammad Hakim Mahadi, Mohd Faizal Mohd Ariffin dan Mohd Andy Helmi Radzi dari Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP) di bawah program pengajian kerjasama Universiti Teknologi Mara (UTM) dengan  IKIP, telah mendapat tempat kedua dalam pertandingan Battle of The Band 14 Februari lalu.
Hezam Zainal, penyanyi bagi kumpulan The Lip’z Art berkata, kumpulan ini ditubuhkan pada tahun 2009 dan mula bermain muzik di Studio Sinar Lagenda Entertaiment sebelum mengorak langkah untuk  pergi lebih jauh.
“ Kerana minat kami dalam muzik sangat mendalam, kami teruskan walaupun terpaksa menghadapi rintangan sebelum berjaya dan dikenali oleh para pelajar sekitar Kuantan serta masyarakat disini.“ kata Hezam semasa ditemu bual.
Selain itu, kumpulan ini juga telah banyak melibatkan diri  dengan aktiviti anjuran Festival Muzik, Seni dan Gaya (MASIF) 2011, Battle of The Band 2012, bermain muzik di kenduri kahwin dan Hotel di sekitar Pahang serta bermain muzik semasa makan malam School Of Science Technology UTM program pengajian kerjasama dengan IKIP.
Kumpulan ini mahu mengharumkan nama IKIP sebagai kolej yang terunggul dan ingin meletakkan muzik seiring dengan bidang sukan dan bidang pendidikan sebagai landasan untuk berjaya dalam hidup mereka.
Di tanya apa perancangan masa depan kumpulan ini, Hezam menjelaskan mereka ingin merakam lagu single pertama menggunakan bilik studio mereka sendiri, ingin membuat kemunculan lagi dalam MASIF 2012 dan turut serta bertanding dalam Battle Of The Band pada bulan September ini.
Di samping itu, Mohd Andy Helmi Radzi pemain gitar bass untuk kumpulan itu berharap pihak IKIP serta para pelajar IKIP memberi sokongan kepada mereka supaya mereka dapat merealisasikan impian mereka sebagai sebuah kumpulan yang berjaya.
Andy juga berpesan, bermain muzik tidak menggangu pelajaran tapi yang penting bagi perhatian kepada pelajaran supaya para pelajar yang tamat pengajian dari IKIP bakal menjadi graduan yang berkualiti dan inovatif.
“ Jika para pelajar IKIP ada yang berbakat dalam bidang muzik, teruskan usaha itu sementara ada peluang kerana peluang hanya datang sekali, “ katanya.



IKIP capai penarafan 5 bintang




Oleh Nur Ahmad Musaddiq Baharum

Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP) diumum antara 20 kolej swasta yang mendapat penarafan 5 bintang oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui Sistem Pengurusan Kualiti dan Kesetaraan Kolej Swasta (MyQuest) bagi tahun 2010/2011.
Sistem yang dibangunkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi itu, adalah sistem yang bertujuan untuk menilai pencapaian kolej swasta di Malaysia yang menghasilkan tiga laporan yang berdasarkan College Based, Cluster Based dan International Student Readiness.
Timbalan Naib Presiden Akademik IKIP, Encik Airul Amri Amran berkata, dengan penarafan 5 bintang ini, ia dapat membuka mata masyarakat akan kewujudan IKIP sebagai pesaing dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia.
“Dengan mendapat penarafan lima bintang oleh MYQUEST, ini membuktikan bahawa IKIP mempunyai sumber yang berkualiti dari segi pensyarah yang berkelayakan mengikut bidang serta kemudahan yang telah disediakan.
 “IKIP sedang menambah baik perbincangan pelan strategik, pengiktirafan Total Quality Management (TQM) melalui Total Quality Fast Track Model (TQFTM) serta pemantapan bahagian akademik dalam usaha mencapai penarafan enam bintang pula,” katanya semasa ditemubual.
Ini menunjukkan IKIP ditahap yang terbaik dalam memenuhi aspirasi negara serta mampu menyediakan pengajaran dan pembelajaran yang sempurna supaya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang berkualiti secara berterusan.
Selain itu, ia turut menggambarkan bahawa IKIP mempunyai kekuatan daya saing yang tinggi, serta berkualiti bukan setakat kepada program-program yang ditawarkannya malah dari segi pengurusan keseluruhannya.
 Penilaian yang telah dijalankan itu, merupakan bukti kesungguhan kerajaan untuk melonjak pendidikan ke tahap yang lebih tinggi dan mampu berdaya saing supaya pendidikan di Malaysia tidak ketinggalan dengan pendidikan di negara lain.
Usaha yang cuba ditonjolkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi itu mampu menghasilkan IPTS yang benar-benar berkualiti, menggalas cita-cita negara untuk melahirkan modul insan yang unggul serta menguasai nilai dan berkemahiran tinggi.
Ini juga sebagai landasan untuk memastikan program Kementerian Pengajian Tinggi itu dapat dilaksanakan secara teratur dan sistematik ke arah pencapaian matlamat untuk memastikan visi pengajian tinggi dapat dicapai secara berterusan.
Langkah ini bertujuan bagi memastikan IPTS yang terdapat di Malaysia memperbaiki mutu perkhidmatan serta meningkatkan kualiti pengajian tinggi menjelang tahun 2013 supaya memenuhi semua piawaian dan peraturan yang ditetapkan.