Oleh Nur Ahmad Musaddiq Baharum
Seramai 60 orang pelajar Kolej Antarabangsa IKIP
(IKIP) dari Sekolah Pengajian Diploma, telah diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan
Sesi 2011 bertempat di Shahzan Inn Kuantan April lalu.
Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar ini meraikan
pelajar-pelajar cemerlang bagi Sesi Januari - Mei dan Julai - Disember 2011,
bagi kategori akademik dan kokurikulum.
Selain itu, Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar
ini adalah untuk memberi pengiktirafan dan perhargaan kepada usaha para pelajar
yang telah mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang akademik.
Pengarah Program Sekolah Pengajian Diploma Kolej
Antarabangsa IKIP, Puan Norzimah Kasran berkata, majlis ini bertujuan memberi
perangsang kepada pelajar yang berjaya untuk terus berusaha mengekalkan
kecemerlangan, seterusnya dapat meningkatkan prestasi sekolah pengajian diploma
secara keseluruhan.
“ Kecemerlangan pelajar dipengaruhi oleh pelbagai
aspek seperti ibu bapa, pensyarah, cita-cita, serta kualiti pengajaran yang
berkesan daripada pensyarah-pensyarah selain penerimaan kurikulum yang menepati
kehendak industri dan suasana.
“ Yang lebih penting adalah persediaan pelajar untuk
menghadapi dunia pekerjaan, khususnya untuk memastikan bahawa diri kita adalah yang
terlayak untuk dipilih berkerja dalam industri,” ulasnya.
Ini membuktikan Sekolah Pengajian Diploma
mementingkan para pelajar sentiasa bekerja keras, berkualiti serta untuk terus
berusaha demi mencapai kecemerlangan di dalam bidang akademik mahupun bidang
kokurikulum.
Dalam majlis tersebut, Nor Syazwani Abdul, 23, dari program
Diploma Kesetiausahan Eksekutif diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar
Cemerlang Sekolah Pengajian Diploma bagi tahun 2011. Beliau dipilih berdasarkan
keputusan akademik yang cemerlang setiap semester, kegigihan dan sikap disenangi
oleh ramai pensyarah.
“Semasa di dalam kelas, saya selalu bertanya kepada
pensyarah jika saya tidak memahami sesuatu perkara itu serta menumpukan
perhatian kepada topik pengajaran, dan sangat mematuhi jadual harian yang
khususnya untuk mengulang kaji. Ini adalah
cara saya belajar,” kata Nor Syazwani Abdul semasa ditemu bual.
Beliau berharap para pelajar yang menyambung
pengajian di institusi pengajian tinggi dapat menetapkan matlamat masing-masing
dalam menimba ilmu pengetahuan tanpa mengira bidang. Seorang lagi penerima
anugerah cemerlang, MD.Muddaser Ali Chowdhury, 23, pelajar antarabangsa berasal
dari Bangladesh berkata, beliau sangat berterima kasih kepada IKIP dan
pensyarah-pensyarah yang telah memberi tunjuk ajar kepada beliau serta memberi
bimbingan sehingga beliau berjaya sampai ke tahap seperti ini.
“ Saya sangat seronok belajar di sini, budaya
berdaya saing yang diterapkan di IKIP membuatkan saya berkeyakinan tinggi untuk
lebih maju dalam hidup. Selain itu, persekitaran IKIP sangat mesra dan
memudahkan saya berkomunikasi dengan masyarakat di sini,” kata MD.Muddaser Ali
Chowdhury.
No comments:
Post a Comment