Sunday, September 9, 2012

Lukisan Mural 1 Malaysia Ketengahkan bakat Para Pelajar dan Pensyarah IKIP




Oleh NUR AHMAD MUSADDIQ BAHARUM




Gabungan Persatuan Pelukis Se Malaysia (GAP’s) dengan kerjasama Sekolah Pengajian Seni Reka Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP), telah mengadakan program melukis Lukisan Mural 1Malaysia yang berlangsung baru-baru ini.


Yang Dipertua Persatuan Seni Lukis Dan Seni Reka Melayu Negeri Pahang (SENIKA), Encik Shaimy Hashim berkata, GAP’s telah dilantik sebagai rakan Malaysia Contemporary Art Tourism (MCAT) 1Malaysia oleh Kementerian Pelancongan Malaysia untuk melukis Lukisan Mural 1Malaysia yang bertemakan mesej perpaduan dan masyarakat yang harmoni serta berbilang kaum di Malaysia.

“Pada Jun serta Julai ini, kami mempunyai 2 program yang akan disertai iaitu melukis Lukisan Mural di bengkel SENIKA pada 24 jun – 5 julai dan majlis pelancaran MCAT 1Malaysia pada 11 julai di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

“Selain itu, IKIP adalah rakan baik SENIKA dan usaha kami dalam menilai kreativiti pensyarah IKIP serta para pelajar IKIP dalam membantu pihak GAP’s menyiapkan lukisan ini amatlah dihargai, ” kata Shaimy Hashim.

Lukisan Mural 1Malaysia ini juga akan dipertontonkan di KLCC selepas majlis pelancaran itu sehingga 16 september sempena memperingati Hari Malaysia.

Di samping itu, Pensyarah Sekolah Pengajian Seni Reka, Encik Ifhamuddin Mohammed berkata, Lukisan Mural 1Malaysia ini dapat mengetengahkan bakat pensyarah dan para pelajar IKIP supaya melahirkan generasi pelukis yang mempunyai semangat cintakan negara.

“Ia satu penghargaan kepada Sekolah Pengajian kami, kerana telah melibatkan diri dalam peringkat nasional serta mengangkat nama IKIP dalam persada seni lukis ini ,” ujarnya.

Lukisan Mural adalah lukisan yang selalunya dilukis di permukaan luas seperti dinding, tembok dan terkini permukaan jalanraya. Kebanyakkan lukisan mural di Malaysia adalah berbentuk pemandangan dan majoriti lukisan ini terdapat di bangunan kerajaan seperti pejabat kerajaan, sekolah serta tadika.

Program Semurni Rahmat Ilahi Rapatkan Ukhwah Antara Pelajar dan Pensyarah IKIP



OLEH NUR AHMAD MUSADDIQ BAHARUM

Institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing tinggi dan mempunyai ciri ideal sebagai seorang mahasiswa yang berkualiti serta mementingkan asas-asas agama berlandaskan syariat Islam.

Selain itu juga, mahasiswa merupakan aset penting sesebuah negara. Mahasiswa yang cemerlang, gemilang dan terbilang seharusnya mempunyai keseimbangan dalam bidang akademik, rohani serta jasmani.
Persatuan Pelajar Diploma Islam (PPDI), Kolej Antarabangsa IKIP (IKIP) telah menganjurkan program Semurni Rahmat Ilahi yang telah berlangsung baru-baru ini di Dewan Besar IKIP Taman Pertanian.
Penasihat PPDI, Ustaz Muin Othman berkata, program Semurni Rahmat Ilahi bertujuan untuk memupuk akhlak yang mulia dalam kalangan mahasiswa serta merapatkan ukhwah antara mahasiswa dan mahasiswi dengan para pensyarah mereka.
Tambahnya lagi, program sebegini dapat membina jati diri mahasiswa dengan pengisian ilmu agama dan menghadirkan rasa keinsafan dalam diri mahasiswa supaya mereka lebih bertanggujawab untuk menjadi insan yang berguna pada agama, negara serta bangsa.
“Sempena bulan yang mulia ini, saya harap mahasiswa dan mahasiswi dapat menjulang akhlak mulia dan membentuk keperibadian yang tinggi supaya martabat Islam sentiasa terpelihara” kata Ustaz Muin semasa ditemuramah.
Antara aktiviti yang telah diadakan dalam program itu adalah berbuka puasa beramai-ramai, solat berjemaah, kuliah maghrib dan zikir munajat sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia ini.
Asnor Yazalina Yaacob, salah seorang mahasiswi yang menyertai program itu berpendapat, program seperti ini sangat berguna kerana dapat melahirkan rasa kesederhanaan dalam diri  mahasiswa dan mahasiswi.
“Bagi saya, pengalaman berbuka puasa bersama dapat berkongsi rasa kasih sayang antara kami dengan para pensyarah merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Fadzlurrahman Zainuddin, juga berpendapat, program ini telah menjadikan dirinya lebih mengingati pada golongan yang kurang berkemampuan dan berharap program seperti ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.


Mahasiswa PPDI melakukan solat berjemaah bersama